SAPS Bertujuan Untuk Memastikan Pelajar Berada di Haluan Yang Sebenar

SAPS Bertujuan Untuk Memastikan Pelajar Berada di Haluan Yang Sebenar

Mungkin sukar bagi ibu bapa yang bekerja untuk mencari masa bagi melawat secara kerap ke sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka melalui guru-guru di sekolah.

Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Pendidikan telah menemui satu jalan penyelesaian yang membolehkan ibu bapa untuk memantau perkembangan akademik anak-anak secara berterusan serta mendapatkan keputusan ujian dan peperiksaan mereka pada bila-bila masa sahaja dengan hanya melalui hujung jari.

“Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah” atau dikenali juga sebagai SAPS ini merupakan sebuah pangkalan data berbentuk interaktif yang meliputi 10,000 buah sekolah rendah kebangsaan dan juga sekolah menengah.

Selain daripada bertujuan untuk menggalakkan pihak sekolah supaya menerapkan budaya Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), pihak Kementerian juga mahu mengukur pencapaian akademik para pelajar bagi memperbaiki lagi pentadbiran mereka.

Guru-guru perlu memasukkan data keputusan peperiksaan atau ujian para pelajar ke dalam pangkalan data ini bagi membolehkan ibu bapa mengakses keputusan anak-anak mereka mengikut masa sebenar.

Sistem ini juga direka mudah supaya ibu bapa hanya perlu memasukkan nombor MyKad atau Mykid pelajar sahaja dan secara automatik sistem ini akan mengeluarkan slip yang tertera padanya keputusan peperiksaan anak-anak mereka.

Ibu bapa boleh memilih sama ada mahu melihat sahaja keputusan tersebut ataupun mencetaknya untuk disimpan bagi rujukan masa hadapan.

SAPS merupakan antara inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi menjamin kualiti pendidikan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang bertujuan untuk menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti tanpa mengira kaum, agama, mahupun pendapatan.

Fokus Pendidikan NKRA yang lain antaranya termasuklah meningkatkan kadar celik huruf dan nombor, memperbaiki lagi proses pentadbiran pihak sekolah, meningkatkan kemahiran para guru, dan juga mengenal pasti Sekolah Berprestasi Tinggi.

Inisiatif SAPS ini yang selari dengan Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) di bawah Pendidikan NKRA yang berfungsi membantu menyediakan data berkenaan tahap prestasi sesebuah sekolah.

Sistem ini dilihat sebagai suatu komponen yang sangat penting dalam membantu para pengetua meletakkan sasaran prestasi mereka, mengutamakan penambah baikan sekolah serta membangunkan pelan tindakan.

“Pelaksanaan SAPS yang telah bermula sejak tiga tahun yang lalu ini telah menghasilkan suasana yang kondusif bagi proses pengajaran dan pembelajaran, sistem pentadbiran sekolah yang lebih efektif dan sudah semestinya dapat mengenal pasti pelajar-pelajar yang lemah dan memberikan mereka bantuan bagi menyelesaikan masalah tersebut,” kata Dr Noorliza Zakuan selaku Pengarah Eksekutif Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (PADU).

Menurut katanya, SAPS turut menawarkan peralatan menganalisis dan juga ciri-ciri yang dapat membantu para guru untuk memperbaiki lagi diri mereka dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan prestasi para pelajar.

Pengetua-pengetua sekolah juga boleh menggunakannya untuk mengurus guru-guru di bawah mereka serta program-program yang diadakan di sekolah mereka dengan cara yang lebih efektif.

Beliau turut berkata sistem ini boleh digunakan untuk memudahkan urusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), memandangkan ianya akan membantu memberikan bukti yang kukuh sekiranya terdapat permintaan untuk mendapatkan apa jua bentuk sokongan daripada pihak Kementerian.

SAPS membantu menyediakan data berkaitan prestasi pelajar dengan lebih terperinci dan mengikut masa yang ditetapkan.

Hal ini dapat membantu pihak Kementerian, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan juga PPD untuk menentukan sekolah mana yang memerlukan bantuan tambahan melalui pengiraan gred dan markah peperiksaan yang selaras yang digunakan untuk menganalisis prestasi pelajar.

“Pelaksanaan SAPS mempercepatkan lagi proses penghantaran dan analisis data sekolah kepada pihak Kementerian dengan lebih efisyen serta mengikut masa yang telah ditetapkan”, kata Dr Noorliza.

Sementara sekolah-sekolah masih lagi berfungsi secara tradisional, SAPS katanya merupakan sebuah sistem yang efektif dan strategik yang boleh digunakan untuk membawa peralihan kepada sekolah-sekolah supaya menjadi lebih terdorong ke arah teknologi maklumat dan komunikasi.

Mengakui bahawa masih terdapat lagi ruang untuk memperbaiki sistem tersebut seperti akses secara atas talian, beliau menambah bahawa pihak Kementerian yakin kaedah laporan secara atas talian ini akan kekal digunakan kerana ianya ketara dilihat telah memperbaiki bahagian pentadbiran.

“Salah satu cara bagaimana SAPS ini membawa perubahan ialah disebabkan ianya merupakan sistem pangkalan data yang wujud secara atas talian.

“Data berkaitan pelajar ini mudah untuk dipindahkan dan sekiranya terdapat pelajar yang berpindah sekolah, proses mengira jumlah keseluruhan dengan mudahnya dapat diteruskan.

“Berlalu sudah hari-hari di mana para guru perlu mencari semula dokumen-dokumen lama setiap kali terdapat antara mereka yang berpindah.

“Kesemua data yang diperlukan sudah tersedia secara atas talian,” tambahnya.

Pangkalan data ini juga membantu para pengetua dan guru besar untuk merancang penggunaan sumber sekolah mereka dengan lebih efektif dan efisyen.

Hal ini boleh dicapai sekiranya para pengetua dan guru besar hanya fokus pada isu-isu khas yang perlu diselesaikan sahaja.

Sebagai contoh, selain daripada mengadakan tuisyen selepas waktu sekolah, ianya boleh digantikan dengan mengadakan kelas tambahan bagi beberapa subjek yang dilihat masih lagi lemah sahaja.

Lebihan sumber boleh digunakan untuk membawa masuk pakar runding dari luar untuk menjana idea-idea baru atau membantu guru-guru dan para pelajar menguasai subjek yang mereka lemah.

SAPS juga dapat membantu memantau prestasi dan juga kemajuan sekolah-sekolah dengan lebih terperinci disebabkan pangkalan datanya.

Dalam erti kata yang lain, pihak sekolah boleh memantau data berkaitan prestasi pelajar mereka bukan pada aras negeri sahaja, bahkan sehingga ke tahap kelas dan individu tersebut sendiri.

Dengan membenarkan mereka mengakses kesemua maklumat ini pada bila-bila masa sahaja, sistem ini turut menyediakan data mengikut masa yang sebenar.

Tahun lepas, SAPS mendapat kedudukan pertama di Malaysia sebagai carian yang kerap keluar di Google (http://www.digitalnewsasia.com/digital-economy/malaysias-top-searches-has-a-surprise-or-two-google).

Ini menunjukkan bahawa ramai ibu bapa yang sedar dan menggunakan sistem baharu ini untuk memastikan mereka sentiasa mengetahui perkembangan anak-mereka di sekolah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *