Peranan Ibu Bapa selain mengejar keputusan dalam SAPS Ibu bapa

Walaupun peranan ibu bapa berubah seiring dengan membesarnya anak-anak mereka,masih ada satu lagi perkara yang tidak akan berubah: kitalah contoh teladan anak-anak kita. Bagaimana pembawaan kita dalam hal-hal pembelajaran begitulah juga ianya akan memberikan mereka inspirasi dan menunjukkan kepada mereka bagaimana caranya untuk membawa diri sepanjang perjalanan menuntut ilmu.

Menjadi contoh teladan dalam pembelajaran. Sepanjang awal tumbesaran mereka – ibu bapa merupakan guru bagi anak-anak mereka – meneroka alam, membaca bersama-sama, memasak bersama, dan juga sama-sama mengira. Apabila anak kecil mula mendapat pendidikan formal di sekolah, tugas ibu bapa ialah untuk menunjukkan kepadanya bagaimana di sekolah dia akan mempelajari sambungan bagi apa yang telah dipelajarinya di rumah, serta bagaimana seronok dan bermaknanya proses pembelajaran ini. Sewaktu anak-anak prasekolah membesar menjadi anak-anak di peringkat sekolah, ibu bapa menjadi jurulatih dalam pembelajaran anak-anak mereka. Melalui bimbingan dan peringatan mereka, ibu bapa membantu anak-anak untuk menguruskan masa mereka di samping memberi sokongan terhadap benda baharu yang ingin mereka pelajari sama ada di dalam sekolah atau di luar.

Berikan tumpuan terhadap apa yang anak anda suka.

“Salah satu perkara paling penting bagi ibu bapa ialah untuk mengambil tahu tentang anak mereka. Adakah dia seorang yang banyak bercakap ataupun seorang yang pemalu? Ketahui apa yang diminatinya dan bantu dia untuk menerokainya. Biarkan anak anda tunjukkan kepada anda cara belajar macam mana yang disukainya,” saran Dalton Miller-Jones, Ph.D.

Tumpukan perhatian pada cara bagaimana anak anda belajar.

Kebanyakan kanak-kanak menggunakan beberapa kaedah untuk belajar. Sesetengahnya belajar melalui penglihatan (visual) dengan cara melihat gambar-gambar, manakala yang lain pula melalui deria sentuhan seperti membina bongkah bangunan dan bermain dengan tanah liat.  Bagi yang selebihnya, mereka belajar melalui pendengaran (auditori) iaitu dengan menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang didengari. Mereka juga berkemungkinan tidak belajar dengan cara yang sama seperti adik-beradik mereka (atau seperti anda). Dengan mengambil tahu mengenai cara anak anda belajar, anda boleh mencetuskan rasa minat dalam diri anak anda dengan cara melukis gambar bersama-sama bagi menerangkan topik-topik yang susah, membuat carta, membina model, menyanyi dan juga membuat puisi.

Amalkan apa yang dipelajari anak anda di sekolah.

Kebanyakan guru akan menggalakkan ibu bapa untuk mengulangkaji apa yang telah dipelajari anak mereka dengan cara yang tidak membebankan dan berlatih mana-mana bahagian yang mereka lemah. Ini tidak bermakna anda perlu melatih mereka untuk terus berjaya, tetapi ianya bermaksud anda menyemak semula kemahiran asas mengira, sifir atau kemahiran mengenal huruf, bergantung kepada keperluan dan tahap pembelajaran anak anda. “Anda boleh meluangkan masa bersama untuk mengulangkaji, tetapi jangan sesekali menjadi orang yang terlampau tegas,” tambah Dianne Levin, Ph.D. “Dan sewaktu anda mengulangkaji bersama, anak anda sepatutnya mempunyai perasaan mahu untuk melakukan latihan tersebut.”

Luangkan masa untuk membaca bersama-sama.

Bacalah dengan suara yang kuat secara kerap, walaupun dengan anak yang telah meningkat usia. Jika anak anda enggan membaca, membaca dengan suara yang kuat akan mendedahkan kepadanya struktur ayat dan kosa kata yang baik selain membuatkannya rasa lebih berminat untuk membaca. “Membaca dua bab pertama sesebuah buku secara bersama sangatlah membantu kerana bab tersebut merupakan bab paling sukar dalam sesebuah plot,” kata Susan Becker, M. Ed. “Selain itu, cubalah bertukar-tukar, anda membaca satu bab dengan kuat, anak anda pun membaca bab yang lain untuk dirinya sendiri. Biarkan anak anda memilih buku apa yang mereka suka. Buku yang bersiri sangatlah sesuai untuk mereka yang enggan membaca. Tidak mengapa sekiranya anda mahu membaca buku yang mudah difahami dan menarik perhatian daripada membaca novel-novel yang sukar.”

Kaitkan apa yang telah dipelajari anak anda dengan kehidupan seharian.

Jadikan pembelajaran sebahagian daripada pengalaman harian anak anda lebih-lebih lagi apabila ianya datang daripada soalan-soalan yang lazim ditanya anak anda. Apabila anda memasak bersama-sama, ajar mereka mengira. Apabila anda sedang memandu, kira nombor plat kereta dan ceritalah tentang negeri-negeri. Apabila anda sedang menggunakan mesin pengisar, belajar bagaimana cara mesin tersebut berfungsi. Sewaktu anak anda sedang belajar tentang cuaca, ceritalah tentang mengapa cuaca di pantai sangat panas. Adakan perbualan bersama-sama, mendengar idea-idea daripada anak anda sebagai ganti kepada anda memberi maklumat supaya masuk ke dalam kepala mereka.

Kaitkan apa yang telah anak anda pelajari dengan dunia semasa.

Cari cara yang sesuai dengan umur anak anda untuk mengaitkan apa yang telah dipelajarinya di sekolah dengan apa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Mulakan dengan bertanya soalan. Contohnya, tanya kepada anak anda yang berada di sekolah rendah sekiranya dia tahu tentang peristiwa terkini dan apa yang telah didengarinya. Kemudian tanya pula apa yang boleh dia lakukan untuk memberikan bantuan (seperti menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa taufan). Anda juga mungkin boleh bertanya anak yang lebih muda lagi jika dia pernah mendengar apa-apa berita dan apa yang diketahuinya. Ini akan membantu anak anda menjadi seorang pelajar yang prihatin.

Bantu anak anda menjadi seorang yang bertanggungjawab dengan apa yang dipelajarinya. “Kita mahu anak-anak bertanggungjawab dengan apa yang mereka pelajari,” kata Dalton Miller-Jones, Ph.D. “Kita mahu mereka bertanggungjawab dengan kejayaan dan kegagalan mereka, tunjukkan kepada mereka betapa menariknya mempelajari sesuatu itu, dan motivasi untuk belajar itu sepatutnya datang daripada minat secara semula jadi, bukannya atas faktor luaran.

Jangan padatkan jadual anak anda.

Sementara anda mahu menambah aktiviti di luar sekolah, fikir secara rasional tentang berapa banyak masa yang anak anda perlukan. Kanak-kanak perlukan waktu berehat sebanyak yang mungkin untuk meneruskan aktiviti luar pembelajaran mereka. “Jika seorang kanak-kanak mempunyai kerja sekolah dan menyertai aktiviti sukan serta kelas muzik selain daripada menyertai juga kumpulan belia di gereja atau rumah ibadat, ianya akan menjadikan kehidupan seharian tidak menyeronokkan. Oleh itu, pantau anak anda untuk memastikan sama ada dia seronok dengan apa yang dilakukannya. Jika tidak, tinggalkan apa yang tidak perlu daripada jadualnya,” nasihat Michael Thompson, Ph.D.

Minimakan menonton TV.

“Terlalu banyak menonton TV tidak akan memberi peluang kepada anak anda untuk membentuk minat dan meneroka sesuatu dengan sendirinya, kerana dia dikawal oleh agenda” nasihat Diana Levin, Ph.D. “Walaubagaimanapun, masa yang tidak teratur bersama dengan buku-buku, mainan, kraf dan juga kawan-kawan membolehkan kanak-kanak untuk belajar bagaimana caranya mengurus agenda mereka di samping membentuk minat, kemahiran, jalan penyelesaian dan juga kepakaran mereka.”

Anda sendiri mempelajari sesuatu yang baharu.

Mempelajari sesuatu yang baharu bagi diri anda sendiri merupakan satu contoh teladan terbaik buat anak anda sepanjang proses pembelajaran. Pelajari bahasa baru atau sesuatu yang berkaitan dengan kraf, atau baca tentang sesuatu topik yang anda tidak biasa dengannya. Tunjukkan kepada anak anda apa yang sedang anda pelajari dan bagaimana anda bergelut dengannya. Anda akan lebih memahami apa yang anak anda sedang lalui dan anak anda mungkin akan mempelajari kemahiran belajar melalui pemerhatian mereka terhadap anda. Anda juga berkemungkinan akan mengadakan waktu belajar bersama.  

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *