Apakah Kelebihan SAPS NKRA Ini Bagi Pihak Guru?

Apabila pihak guru menggunakan sistem SAPS, amatlah mudah bagi mereka untuk mengenalpasti keputusan peperiksaan pelajar seperti peratusan markah pelajar tertinggi dalam kelas, peratusan markah tertinggi pelajar keseluruhan tahun/darjah dan juga peratus lulus keputusan peperiksaan pelajar di sekolah masing-masing. Sistem ini juga memudahkan guru mata pelajaran untuk mengisi markah pelajar mengikut peperiksaan yang telah ditetapkan di dalam sistem tersebut. Hal ini telah mengurangkan beban bagi pihak guru kerana sebelum wujud nya sistem SAPS, mereka terpaksa memasukkan maklumat keputusan semua mata pelajaran untuk mendapatkan analisis bagi sesuatu peperiksaan.

Sistem SAPS ini juga boleh diakses oleh pihak KPM, JPN, PPD dan Sekolah. Oleh itu, melalui sistem ini, pihak-pihak berkenaan dapat mengenal pasti pelajar yang tercicir memasuki persekolahan menerusi data kelahiran dan data pelajar yang mendaftar pada awal persekolahan.

SAPS juga mampu mengurangkan jumlah kerja pihak guru semasa proses pengisian markah peperiksaan pelajar kerana mereka hanya perlu mengisi maklumat tersebut ke dalam SAPS dua kali sahaja dalam masa setahun. Maklumat yang perlu dimasukkan ke dalam sistem adalah markah peperiksaan pertengahan tahun dan juga markah peperiksaan akhir tahun.

Selain itu, SAPS juga dapat mengenal pasti prestasi pelajar sekolah tanpa mengira kawasan sekolah tersebut. Maklumat boleh diperoleh daripada pihak sekolah yang berada di kawasan bandar mahupun di luar bandar. Hal ini memudahkan pihak kementerian untuk mengukur pencapaian sesebuah sekolah di mana jua sekolah tersebut berada. Pihak kementerian juga boleh mengesan dan mengenal pasti kelemahan pelajar di sesebuah sekolah sejurus dengan itu melakukan usaha bagi mengatasi kelemahan pelajar di sekolah tersebut.

Kehilangan rekod serta kesukaran membuat analisis tidak lagi menjadi masalah utama bagi pihak guru dengan adanya sistem rekod melalui talian SAPS. Pihak KPM, JPN dan PPD boleh terus memantau prestasi sekolah secara talian untuk memperbaiki kelemahan dan juga strategi bagi meningkatkan prestasi pelajar di sekolah. Pihak atasan juga tidak perlu asyik kerap menagih maklumat peperiksaan pelajar daripada pihak guru kerana boleh diakses dengan mudah melalui laman portal SAPS.

Dengan adanya SAPS, pihak guru juga yang tidak berapa mahir komputer juga boleh memperbaiki kelemahan tersebut dengan belajar menggunakan laman portal SAPS. Apabila pihak guru menyedari bahawa bidang pelajaran kini juga perlu berubah selaras dengan kemajuan ICT, maka generasi yang lebih cemerlang dengan minda terbuka mampu dilahirkan. Data yang dimasukkan ke dalam sistem ini membolehkan pihak guru berkongsi maklumat yang lebih tepat dan padat kepada pihak ibu bapa / penjaga. Maklumat yang dikongsi juga adalah secara menyeluruh dan informatif bagi memudahkan lagi pemahaman pihak ibu bapa/ penjaga akan prestasi anak – anak / jagaan mereka.

Apabila wujudnya sistem perkongsian talian secara tersusun ini, pihak tenaga pengajar akan memperoleh masa yang lebih. Hal ini kerana mereka tidak perlu lagi mengendalikan kerja-kerja menyediakan dokumen secara manual yang memakan masa yang agak lama. Oleh itu, pihak guru mampu focus dalam meningkatkan mutu pelajaran di sekolah masing-masing.

Kesimpulannya, Sistem Analisis Peperiksaan Pelajar memudahkan pihak guru untuk merekod pencapaian pelajar dalam peperiksaan sekolah dan memudahkan analisis yang perlu dibuat oleh pihak guru. SAPS juga lebih memfokuskan pencapaian pelajar mengikut mata pelajaran yang telah didaftar, gred dan juga pencapaian keseluruhan pelajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *